CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, April 25, 2009

Nota Minggu 1-- Pengenalan

Kajian tindakan

Kajian tindakan merupakan proses refleksi kendiri yang dilakukan oleh guru sebagai penilaian terhadap tindakan yang di buat dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelasnya atau dengan kata lain ia melibatkan kajian terhadap amalan guru itu sendiri di dalam kelas. Kajian tindakan dilakukan secara bersistematik dengan meneliti, menyelidik dan mengkaji sesuatu amalan untuk menambahbaik teknik atau strategi untuk memberi impak yang maksima terhadap pembelajaran pelajar. Pelbagai teori pengajaran dapat dilakukan oleh guru secara kaedah cuba jaya melalui praktis di dalam bilik darjah. Ini kerana pendekatan strategi yang berbeza dikenakan mengikut situasi tertentu contohnya latar belakang pelajar, kedudukan sekolah, tahap kognitif pelajar dan lain-lain. Oleh itu, guru tidak boleh statik dengan gaya pengajarannya dan boleh mempelbagaikan teknik pengajaran selaras dengan objektif pembelajaran yang hendak dicapai. Sekiranya sesuatu strategi yang telah dipilih oleh guru tidak berjaya, guru tersebut akan membuat penilaian terhadap amalannya secara bertulis (laporan) setelah mengenalpasti masalah dan menjalankan kajian tertentu. Terdapat 4 jenis kajian tindakan iaitu individu, kolaboratif, sekolah dan daerah. Kajian tindakan oleh guru secara individu memberi fokus kepada sesuatu isu dalam bilik darjah yang melibatkan guru itu sendiri. Kajian tindakan kolaboratif melibatkan dua atau lebih orang guru iaitu guru-guru dalam bidang yang sama, guru-guru dalam pelbagai subjek dan guru dengan pihak luar seperti pensyarah universiti. Ia fokus kepada sesuatu isu yang sama dalam peringkat kelas. Kajian tindakan sekolah pula memberi fokus kepada satu isu yang sama di peringkat sekolah contohnya menggalakkan penyertaan pelajar dalam Kejohanan Olahraga Tahunan sekolah. Manakala kajian tindakan peringkat daerah memberi fokus kepada satu isu yang sama dalam kalangan beberapa sekolah dalam daerah yang sama.

Contoh masalah untuk kajian tindakan:
Cikgu Assarah mengarahkan pelajarnya untuk turun ke padang bagi kelas pendidikan jasmani dan kesihatan sebelum bunyi loceng pertama iaitu pada pukul 7.30 pagi. Di dapati pada jam 7.40 iaitu setelah bunyi loceng pertama, hanya 20 pelajar daripada 35 pelajar keseluruhan dalam kelas tersebut berada di padang. Manakala 15 orang lagi masih dalam perjalanan ke padang dan selebihnya berada di dalam tandas untuk menukar pakaian sukan. Cikgu Assarah mendapati caranya mengarahkan pelajar tidak berkesan kerana tidak semua pelajar dapat berkumpul di padang dalam masa yan ditetapkan. Jadi, dia mengenalpasti masalah yang berlaku sehingga menyebabkan hanya sebahagian pelajar yang hadir ke padang tepat pada masanya. Sebagai refleksi kepada strategi pengajaran pilihannya, beliau membuat penyelidikan dan menganalisis maklumat yang menjadi punca masalah. Seterusnya menyenaraikan cadangan strategi yang bakal diimplementasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang akan datang. Penyenaraian strategi ini bertujuan untuk mengenalpasti kaedah terbaik yang dapat dilaksanakan agar pelajar dapat berkumpul di padang dalam keadaan yang teratur dalam masa yang ditetapkan.

0 comments: